Batam terletak di Kepulauan Riau, Indonesia bersebelahan dengan Johor merupakan daerah terbesar di Kepulauan Riau atau singkatannya KEPRI. Penduduk di Batam majoriti adalah melayu, jadi bahasa yang digunakan juga seakan bahasa melayu yang mudah difahami oleh orang Malaysia. Makanan di sini juga tidak jauh berbeza berbanding masakan kita di sini cuma mungkin nama makanan saja tak sama., contohnya Mee rojak di Malaysia, tetapi di sini di panggil Mee rebus kacang. Nama saja berbeza tetapi makanan yang sama.

Setelah beberapa kali ke Batam, harini baru rasa yakin nak share tips ke Batam menaiki pengangkutan awam. Saya akan share tips dari Kuala Lumpur, jika korang dari daerah/negeri lain sekurang-kurangnya korang ada sedikit idea macam mana nak ke Batam. Okay jom kita ke Batam! haha

Dari KL, saya ambil bas di TBS(Terminal Bersepadu Selatan) boleh ambil je apa-apa bas ke Larkin. Perjalanan mengambil  masa kurang dari 5jam. Stesen Larkin merupakan stesen bas utama di Johor. Untuk yang tak pernah ke stesen Larkin, surau terletak di tingkat atas dan akan dikunci selepas solat isyak (jangan ada plan untuk tidur di surau stesen Larkin). 



Untuk menaiki feri ke Batam, kita perlu ke Terminal feri Puteri Harbour. Dari stesen Larkin, boleh ambil shuttle bas secara percuma yang disediakan untuk ke terminal feri. 



Shuttle bas ini beroperasi seawal 6.30am dan pickup point adalah di hadapan bangunan mara. Jalan kaki ke bangunan mara lebih kurang 2minit je dari stesen bas. Perjalanan ke Puteri Harbour terminal feri sekitar 40 minit. Shuttle bas akan hantar betul-betul depan terminal feri kerana Puteri Harbour adalah stesen terakhir untuk shuttle bas.

Tips: ambil bas lewat malam, jadi sampai di stesen Larkin awal pagi boleh terus naik shuttle bas.


Korang boleh walk in atau beli tiket feri secara online. Harga untuk sehala adalah lebih mahal berbanding tiket dua hala(return). Harga seperti gambar dibawah. 



Oh ya, sea port tax RM1 juga dikenakan. Nanti jangan terkejut pula bila kena charge extra.



Terdapat beberapa syarikat feri yang beroperasi di terminal Puteri Harbour. Saya memang syorkan untuk memilih Dolphin Fast Ferry. Perkhidmatan terbaik, harga berpatutan dan yang paling penting sangat selesa serta bersih. Setelah mencuba beberapa feri yang lain untuk ke Batam, kini memang Dolphin Fast Ferry saja pilihan hati sekiranya nak ke Batam.



Untuk masa pelepasan, boleh rujuk pada jadual yang dikeluarkan oleh Dolphin. Korang mesti ada di terminal 2jam sebelum waktu pelepasan supaya cukup waktu untuk proses checking tiket, kastam dan imigresen.

Tips: Untuk penjimatan berganda beli return tiket dan mintak open tiket untuk tiket return.

Perjalanan ke Batam menaiki feri mengambil masa 2jam, namun tak terasa jauh sebab sepanjang perjalanan tidur je, tau-tau dah sampai ke Batam. Tidak ada kedai jual air atau kudapan, tapi jangan risau, Pihak Dolphin menyediakan air minuman untuk semua penumpang, korang boleh minta je dengan staff feri.

Itu je sedikit sebanyak tips ke Batam dengan menaiki bas dan feri. Moga info ini bermanfaat buat semua. Selamat bercuti ke Batam!